
Pada 25-28 Jun 2009 yang lalu, kumpulan debat IPGM Tengku Ampuan Afzan telah menyertai Pertandingan Debat Piala DYMM Sultan Zainal Abidin anjuran Kelab Debat UiTM Terengganu. Ini merupakan percubaan pertama kumpulan debat IPGM Tengku Ampuan Afzan yang diwakili oleh Misraini Wazir, Farha Ilyana Samsudin, Muhamad Nasrul Abu Bakar dan Bintul 'Aaqilah Suhaimi menembusi pertandingan debat IPT. Sistem "Power Match" telah digunakan sepanjang pertandingan ini berlangsung di mana kedudukan untuk melayakkan diri ke peringkat seterusnya ditentukan mengikut bilangan kemenangan yang diperoleh bagi keseluruhan persidangan peringkat awal, jumlah mata juri dan sistem margin. Berikut adalah keputusan bagi setiap persidangan yang berlangsung:
Persidangan 1
Persidangan 2
Persidangan 3
Persidangan 4
Persidangan 5
Persidangan 6
Oleh kerana kurangan mata juri, pasukan IPGMTAA telah menduduki tempat ke-11 daripada 20 pasukan yang bertanding dengan pungutan margin yang agak tinggi iaitu sebanyak 8.7 margin. Percubaan pertama yang cukup baik!
Terima kasih kepada semua pihak yang banyak membantu. Semoga arena debat IPGMTAA terus mara ke hadapan dan merangkul gelaran juara satu hari kelak!
p/s : 25 usul perdebatan yang digunakan sepanjang Pertandingan Debat PDSZA akan dimuat naik ke blog kemudian.
PERLUNYA SEMANGAT KERJASAMA DAN SETIA KAWAN DALAM PERJUANGAN BERMATLAMAT
MELIHAT kepada tajuk yang tertera, pasti ada antara adik-adik yang berkata begini, “Apa yang penting? KERJASAMA!” – serupa lagu tema cerita kartun Wonderpets. Pasti juga ada antara kalian yang bermonolog, “Kak Mis ni, tak habis-habis dengan KERJASAMA,” (sambil tersungging senyuman geli hati barangkali). Tidak mengapa, senyumlah adik-adik. Terus saja tersenyum. Sekurang-kurangnya kalian sudah membuat senaman muka yang paling ringkas. 46 urat muka kalian yang terlibat dalam pembentukan sekuntum senyuman itu akan membawa kalian kepada maslahat ‘awet muda’! Justeru, teruskan senyuman kalian jika mahu kelihatan muda dan menawan.
Mukadimah yang tidak berapa kena barangkali di sini. Agak tersasar daripada kandungan yang ingin disampaikan. Justeru, kita tinggalkan fakta senyuman itu, kita beralih kepada tujuan utama penulisan ini. Pepatah pujangga mengatakan; tak kenal maka tak cinta. Maka, eloklah kiranya kita berkenalan terlebih dahulu dengan konsep kerjasama dan setiakawan. Apakah sebenarnya yang dimaksudkan dengan ‘kerjasama’ dan apakah pula takrifan bagi ‘setia kawan’? Menurut Kamus Dewan Edisi Keempat terbitan Dewan Bahasa dan Pustaka, istilah ‘kerjasama’ boleh ditakrifkan sebagai kerja (usaha dsb) bersama-sama atau saling membantu (antara dua atau beberapa pihak), gotong-royong, sumbangan pelbagai rupa (bersifat bantuan tenaga, sokongan, persefahaman, dan lain-lain). Manakala istilah 'setia kawan' pula diinterpretasikan sebagai berasaskan (memperlihatkan dsb) perasaan bersatu (bersefahaman, bersepakat, dll) mempunyai (membayangkan dsb) pendirian dan kepentingan yang serupa.
Takrifan secara ilmiah itu hanyalah sebagai pemahaman umum. Apa yang ingin disampaikan kepada kalian sebenarnya lebih daripada itu. Bercakap berdasarkan pengalaman; Kak Mis terlalu ingin kalian memahami betapa pentingnya semangat kerjasama dan setiakawan dalam perjuangan kita membangunkan GAPESA. Sengaja mengimbau kenangan yang sedikit pahit (yang baik dijadikan pedoman, yang kurang baik itu jadikanlah pengajaran); tatkala Kak Mis terpukul hebat dek ombak ketidaksepaduan dalam mengendalikan sebuah kumpulan yang menggerakkan satu aktiviti besar (sungguh, aktiviti yang menjadi kecintaan Kak Mis sebenarnya!). Namun, dek kerana beberapa manusia yang punya rasa iri hati, rasa tidak senang dengan kerja orang lain, rasa tidak mahu manerima pendapat orang ramai, rasa ingin maju (dengan menjatuhkan yang lain), rasa ingin berkuasa dan menguasai, rasa ingin menunjukkan kehebatan, rasa ingin menjulang nama (dengan tidak memberi peluang kepada yang lain), dan pelbagai rasa lagi barangkali, keadaan yang harmoni bertukar menjadi kucar-kacir. Bermacam salah faham dan konflik yang timbul sehingga melibatkan pelbagai pihak. Cerita yang dihamburkan oleh mereka berputar belit sehinggakan konflik menjadi semakin rumit, keadaan menjadi semakin tidak terkawal. (Sewaktu menulis perihal kejadian ini, teringat kata-kata Imam Ghazali – “Hendaklah tukang-tukang cerita waspada terhadap hal-hal bohong dan hikayat-hikayat yang menyajikan perbuatan salah atau yang tujuan baiknya tidak dapat difahamkan oleh umum. Atau, cerita itu merupakan satu pertarungan antara yang baik dengan yang buruk, lalu yang buruk mendapat pembelaan yang berlebihan sebelum dikalahkan oleh yang baik. Tanpa disedari, hal ini memberanikan orang berbuat dosa.”).
Ya, inilah yang terjadi ketika itu, apabila cerita yang tidak betul telah dipercayai oleh umum. Terlalu tertekan dengan keadaan, menyebabkan Kak Mis bertukar menjadi seorang yang cepat patah semangatnya, terlalu berlembut dengan air mata hingga menjadi kebimbangan kepada teman-teman. Tidak pernah lena tidur kerana terlalu banyak yang berselirat di kepala, hingga di tikar sembahyang adakalanya tidak mampu membendung rasa lantas tidak khusyuk dalam menunaikan kewajipan (moga Allah mengampunkan dosa dan kelalaian Kak Mis).
Lantaran daripada tekanan yang tidak mampu lagi untuk dihadapi, Kak Mis mengambil keputusan untuk menarik diri daripada keadaan yang menyesakkan. Sebelum itu, Kak Mis bersemuka dengan manusia-manusia yang terlibat dan memohon maaf. Pada hemat Kak Mis, itulah sebaik-baik keputusan. Biarlah mereka terasa mereka memperoleh kemenangan. Kak Mis sudah tidak mahu ambil pusing. Syukur pada Allah, dalam keadaan yang semakin menekan, dipertemukan-Nya Kak Mis dengan seorang penenang jiwa; sahabat muslihat yang sehingga ke hari ini banyak mendorong Kak Mis mengingati Allah. Di bawah dada langit yang kelam pekat (tidak banyak bintang yang muncul pada malam itu), duduk kami berdua di susur gajah menuju ke blok asrama. Nasihat sahabat Kak Mis ketika itu cukup terkesan.
Sahabat : Mis, kalau nak tenang, rajin-rajinlah mengaji. Baca tafsirnya sekali. Insya-Allah tenang.
Kak Mis : Tapi sebenarnya Mis tak tahu nak luah kat siapa rasa tak tenang ni. Serabut kepala ni dengan masalah.
Sahabat : Mis pernah dengar cerita tentang Rabiatul Adawiyah tak?
Kak Mis : Pernah, tapi ingat-ingat lupa.
Sahabat : Rabiatul Adawiyah tak cerita kat siapa-siapa pun rasa sedih dia. Dia mengadu hanya pada Allah. Percayalah, Allah akan dengar apa yang Mis adukan. Kalau Mis cerita pada saya, mungkin satu hari nanti saya akan cerita pada orang lain. Mis sabar ya. Mis kena ingat, Allah beri kita ujian setimpal dengan keupayaan kita. Dia tahu kita mampu hadapi. Ini juga yang saya pegang selama ni. Saya selalu kata kat diri saya, “Allah tahu aku boleh atasi. Jadi aku akan buat sampai habis.”
Kak Mis : Tapi asyik terfikir je walaupun Mis dah maafkan dan tak terlibat pun lagi dengan diorang.
Sahabat : Kemaafan Mis pada diorang mungkin tak ikhlas. Sebab tu asyik berfikir je. Maafkan seikhlasnya. Jangan fikir-fikirkan lagi. Kalau Mis maafkan walaupun bukan kesalahan Mis, maknanya darjat Mis lebih tinggi daripada diorang. Tapi, kalau Mis pun sama bercakap macam diorang, maknanya tak ada beza Mis dengan diorang. (Kak Mis mengangguk faham).
Kak Mis : Tapi sebenarnya Mis sukakan aktiviti tu. Tapi sekarang Mis terpaksa tinggalkan. (Masa ni, sahabat Kak Mis hanya tersenyum. Tanpa mengulas lanjut, kami bertukar pula kepada topik lain. Berbual-bual hingga tak sedar hampir sejam lebih kami duduk berembun.)
Kami berhenti berbual dan pulang ke bilik masing-masing. Sebelum terlelap malam itu, Kak Mis menerima satu SMS yang sangat bermakna daripada sahabat Kak Mis itu.
“Dan ssgguhnya ksudahan keadaanmu adlh lbih baik bagimu drpd permulaannya. (Surah Adh-Dhuha 93:4). Dlm ayat ini, Allah SWT mnyuruh kita bsyukur. Apa yg kita ada pd hr ini & keadaan kita adlh lebih baik drpd sblum ini. X kira mcm mane hati kita tdk senang krn tak seperti apa yg kita inginkan, kita tetap perlu bsyukur krn ia adlh yg terbaik buat kita. Sesugguhnya Allah Maha Memahami...”
Syukran ya ukht! Nasihatmu membuatkan Misraini binti Wazir semakin kuat dan tenang menerima situasi dan keadaan! Kak Mis tidak membuang nasihat yang diterima begitu-begitu, tapi Kak Mis cuba mempraktikkannya. Alhamdulillah, kini Kak Mis semakin tenang. Bertemu mata dengan mereka pun Kak Mis sudah boleh tersenyum. Malas mahu berfikir apa yang terlindung di akal dan hati mereka. Biarlah! Maafkan! Tidak rugi apa-apa kalau kita memberi maaf, tidak perlu membayar seribu ringgit pun (ayat yang sering Kak Mis gunakan untuk memotivasi diri sendiri). Tidaklah Allah menambah kepada hamba-Nya yang memberi pintu maaf kecuali darjat kemuliaan – riwayat Al-Bukhari dan Muslim. Lagi pula, mereka tidak salah 100% dan Kak Mis juga ada silapnya yang mungkin Kak Mis sendiri tidak sedar. Adakala Kak Mis terasa sedih juga mengenangkan kecintaan Kak Mis terhadap aktiviti itu terpaksa Kak Mis lupakan begitu saja. Namun, cepat-cepat Kak Mis mengingatkan diri Kak Mis pada kalamallah yang ternukil dalam surah Al-Baqarah, ayat 216 dengan maksud:
“...boleh jadi kamu membenci sesuatu padahal ia amat baik bagimu, dan boleh jadi pula kamu menyukai sesuatu padahal ia amat buruk bagimu, Allah mengetahui sedang kamu tidak mengetahui...”
Nah, adik-adikku! Sedikit catatan pengalaman buat renungan kita bersama. Terbukti, semangat kerjasama dan setia kawan itu sangat penting dan bermakna. Sewaktu Kak Mis, Bintul, Dik Farha dan Dik Nasrul, berpakat untuk menubuhkan GAPESA ini, terlalu banyak yang Kak Mis fikirkan. Bimbang pengalaman yang tidak berapa seronok berulang kembali. Orang-orang tua kata; takut pisang berbuah dua kali. Jika pisang yang berbuah dua kali, itu masih menguntungkan. Tapi, jika keserabutan berulang dua kali, itu maknanya mengundang parah di hati! Namun, semangat yang ditunjukkan oleh ketiga-tiga adik ini telah menghilangkan sedikit kegusaran yang bersarang dalam fikiran. Sewaktu kami berempat berbincang dengan Encik Md. Nor dan Encik Rasdi mengenai usul penubuhan gagasan ini, mereka menyokong dengan hati yang terbuka. Kami tambah bersemangat apabila Tuan Pengarah menerima cadangan ini dengan senang hati. Penerimaan Tuan Pengarah disertakan dengan cabaran. Cabaran Tuan Pengarah – mahu GAPESA menghimpunkan lebih kurang 100 buah cerita kanak-kanak pada hujung tahun ini (tahun 2009) dan memastikan sebahagian besar objektif penubuhan GAPESA tercapai.
Untuk merealisasikan hasrat murni ini bukanlah boleh dilaksanakan seorang dua, bertiga atau berempat saja. Ia memerlukan curahan tenaga dan pemikiran ramai orang. Dan hari ini, di pundak adik-adiklah, di pundak kita semualah tergalas segala harapan dan perjuangan. Ya, GAPESA ini adalah perjuangan kita! Perjuangan yang bermatlamat! Justeru adik-adik, kita perlu sama-sama berkerjasama seikhlasnya demi pembangunan GAPESA. Berkerjalah dengan semangat setia kawan yang tepu. Kita tolak ke tepi perasaan tidak suka atau tidak senang dengan orang lain, perasaan iri hati, perasaan tidak puas hati, perasaan memprotes dan segala macam perasaan negatif yang boleh menimbulkan pertelingkahan, yang boleh menimbulkan ketidaktenangan, yang boleh menimbulkan konflik dan perselisihan. Kini kita adalah sebuah keluarga yang besar. KELUARGA GAPESA! Ibarat air yang dicincang takkan putus, peliharalah ukhwah antara kita agar terus kukuh dalam simpulan redha Ilahi.
Kerjasama dan setia kawan demi GAPESA!
16 Jun 2009,
Desa Kelahiran,
2.56 a.m. disudahi.
Kepada semua ahli GAPESA perjumpaan kedua bersama-sama Puan Walaini akan diadakan bagi membincangkan tentang Bengkel Cerpen. Berikut adalah maklumat lanjut mengenai perjumpaan tersebut:
Tarikh : 15 Mei 2009 (JUMAAT)
Masa : 9.15 malam
Tempat : Kelas PISMP Pemulihan (BM) Sem 1
Kehadiran adalah diwajibkan. Harap maklum.
PENGENALAN:...
Suatu ketika dahulu, bahasa Melayu merupakan Lingua Franca yang digunakan dalam pelbagai urusan dan pernah menjadi bahasa intelektual utama di dunia. Namun, senario penyalahgunaan bahasa dan kurangnya kesedaran tentang pentingnya bahasa dan warisan kesenian bahasa semakin meruncing dalam kalangan masyarakat khususnya golongan muda. Menyedari hakikat pentingnya memelihara khazanah warisan bangsa dan sebagai sokongan kepada Rancangan Pembangunan Lima Tahun Institut Pendidikan Guru Malaysia Kampus Tengku Ampuan Afzan yang digagaskan oleh Tuan Pengarah, EncikMazlan bin Mohamad, kami ingin mencadangkan penubuhan Gagasan Penggerak Bahasa atau akronimnya GAPESA. Gagasan ini terbahagi kepada dua struktur utama iaitu pengucapan awam dan pembangunan penulisan. Tertubuhnya GAPESA ini diharapkan dapat menjadi wadah kepada pembangunan bahasa di samping mencari bakat-bakat baru dalam bidang-bidang tersebut supaya dapat menghantar wakil yang terbaik untuk pelbagai pertandingan luar musim.
MATLAMAT:...
Matlamat penubuhan GAPESA ialah untuk meletakkan IPGM Kampus Tengku Ampuan Afzan sebagai kampus contoh dalam setiap aktiviti bahasa disamping menjadi sumber rujukan utama dalam aktiviti bahasa di samping menjadi pusat rujukan sekolah-sekolah sekitar Pahang dalam bidang bahasa. Penubuhan GAPESA juga adalah sebagai medium pelaksana latihan-latihan asas dalam bidang bahasa sebagai persediaan awal untuk menghantar wakil ke setiap pertandingan yang dianjurkan oleh pelbagai pihak seterusnya akan mengharumkan nama IPGM Kampus Tengku Ampuan Afzan, Insyaallah...