Warkah Pesanan Untuk Adik-Adik...

PERLUNYA SEMANGAT KERJASAMA DAN SETIA KAWAN DALAM PERJUANGAN BERMATLAMAT

MELIHAT kepada tajuk yang tertera, pasti ada antara adik-adik yang berkata begini, “Apa yang penting? KERJASAMA!” – serupa lagu tema cerita kartun Wonderpets. Pasti juga ada antara kalian yang bermonolog, “Kak Mis ni, tak habis-habis dengan KERJASAMA,” (sambil tersungging senyuman geli hati barangkali). Tidak mengapa, senyumlah adik-adik. Terus saja tersenyum. Sekurang-kurangnya kalian sudah membuat senaman muka yang paling ringkas. 46 urat muka kalian yang terlibat dalam pembentukan sekuntum senyuman itu akan membawa kalian kepada maslahat ‘awet muda’! Justeru, teruskan senyuman kalian jika mahu kelihatan muda dan menawan.

Mukadimah yang tidak berapa kena barangkali di sini. Agak tersasar daripada kandungan yang ingin disampaikan. Justeru, kita tinggalkan fakta senyuman itu, kita beralih kepada tujuan utama penulisan ini. Pepatah pujangga mengatakan; tak kenal maka tak cinta. Maka, eloklah kiranya kita berkenalan terlebih dahulu dengan konsep kerjasama dan setiakawan. Apakah sebenarnya yang dimaksudkan dengan ‘kerjasama’ dan apakah pula takrifan bagi ‘setia kawan’? Menurut Kamus Dewan Edisi Keempat terbitan Dewan Bahasa dan Pustaka, istilah ‘kerjasama’ boleh ditakrifkan sebagai kerja (usaha dsb) bersama-sama atau saling membantu (antara dua atau beberapa pihak), gotong-royong, sumbangan pelbagai rupa (bersifat bantuan tenaga, sokongan, persefahaman, dan lain-lain). Manakala istilah 'setia kawan' pula diinterpretasikan sebagai berasaskan (memperlihatkan dsb) perasaan bersatu (bersefahaman, bersepakat, dll) mempunyai (membayangkan dsb) pendirian dan kepentingan yang serupa.

Takrifan secara ilmiah itu hanyalah sebagai pemahaman umum. Apa yang ingin disampaikan kepada kalian sebenarnya lebih daripada itu. Bercakap berdasarkan pengalaman; Kak Mis terlalu ingin kalian memahami betapa pentingnya semangat kerjasama dan setiakawan dalam perjuangan kita membangunkan GAPESA. Sengaja mengimbau kenangan yang sedikit pahit (yang baik dijadikan pedoman, yang kurang baik itu jadikanlah pengajaran); tatkala Kak Mis terpukul hebat dek ombak ketidaksepaduan dalam mengendalikan sebuah kumpulan yang menggerakkan satu aktiviti besar (sungguh, aktiviti yang menjadi kecintaan Kak Mis sebenarnya!). Namun, dek kerana beberapa manusia yang punya rasa iri hati, rasa tidak senang dengan kerja orang lain, rasa tidak mahu manerima pendapat orang ramai, rasa ingin maju (dengan menjatuhkan yang lain), rasa ingin berkuasa dan menguasai, rasa ingin menunjukkan kehebatan, rasa ingin menjulang nama (dengan tidak memberi peluang kepada yang lain), dan pelbagai rasa lagi barangkali, keadaan yang harmoni bertukar menjadi kucar-kacir. Bermacam salah faham dan konflik yang timbul sehingga melibatkan pelbagai pihak. Cerita yang dihamburkan oleh mereka berputar belit sehinggakan konflik menjadi semakin rumit, keadaan menjadi semakin tidak terkawal. (Sewaktu menulis perihal kejadian ini, teringat kata-kata Imam Ghazali – “Hendaklah tukang-tukang cerita waspada terhadap hal-hal bohong dan hikayat-hikayat yang menyajikan perbuatan salah atau yang tujuan baiknya tidak dapat difahamkan oleh umum. Atau, cerita itu merupakan satu pertarungan antara yang baik dengan yang buruk, lalu yang buruk mendapat pembelaan yang berlebihan sebelum dikalahkan oleh yang baik. Tanpa disedari, hal ini memberanikan orang berbuat dosa.”).

Ya, inilah yang terjadi ketika itu, apabila cerita yang tidak betul telah dipercayai oleh umum. Terlalu tertekan dengan keadaan, menyebabkan Kak Mis bertukar menjadi seorang yang cepat patah semangatnya, terlalu berlembut dengan air mata hingga menjadi kebimbangan kepada teman-teman. Tidak pernah lena tidur kerana terlalu banyak yang berselirat di kepala, hingga di tikar sembahyang adakalanya tidak mampu membendung rasa lantas tidak khusyuk dalam menunaikan kewajipan (moga Allah mengampunkan dosa dan kelalaian Kak Mis).

Lantaran daripada tekanan yang tidak mampu lagi untuk dihadapi, Kak Mis mengambil keputusan untuk menarik diri daripada keadaan yang menyesakkan. Sebelum itu, Kak Mis bersemuka dengan manusia-manusia yang terlibat dan memohon maaf. Pada hemat Kak Mis, itulah sebaik-baik keputusan. Biarlah mereka terasa mereka memperoleh kemenangan. Kak Mis sudah tidak mahu ambil pusing. Syukur pada Allah, dalam keadaan yang semakin menekan, dipertemukan-Nya Kak Mis dengan seorang penenang jiwa; sahabat muslihat yang sehingga ke hari ini banyak mendorong Kak Mis mengingati Allah. Di bawah dada langit yang kelam pekat (tidak banyak bintang yang muncul pada malam itu), duduk kami berdua di susur gajah menuju ke blok asrama. Nasihat sahabat Kak Mis ketika itu cukup terkesan.

Sahabat : Mis, kalau nak tenang, rajin-rajinlah mengaji. Baca tafsirnya sekali. Insya-Allah tenang.

Kak Mis : Tapi sebenarnya Mis tak tahu nak luah kat siapa rasa tak tenang ni. Serabut kepala ni dengan masalah.

Sahabat : Mis pernah dengar cerita tentang Rabiatul Adawiyah tak?

Kak Mis : Pernah, tapi ingat-ingat lupa.

Sahabat : Rabiatul Adawiyah tak cerita kat siapa-siapa pun rasa sedih dia. Dia mengadu hanya pada Allah. Percayalah, Allah akan dengar apa yang Mis adukan. Kalau Mis cerita pada saya, mungkin satu hari nanti saya akan cerita pada orang lain. Mis sabar ya. Mis kena ingat, Allah beri kita ujian setimpal dengan keupayaan kita. Dia tahu kita mampu hadapi. Ini juga yang saya pegang selama ni. Saya selalu kata kat diri saya, “Allah tahu aku boleh atasi. Jadi aku akan buat sampai habis.”

Kak Mis : Tapi asyik terfikir je walaupun Mis dah maafkan dan tak terlibat pun lagi dengan diorang.

Sahabat : Kemaafan Mis pada diorang mungkin tak ikhlas. Sebab tu asyik berfikir je. Maafkan seikhlasnya. Jangan fikir-fikirkan lagi. Kalau Mis maafkan walaupun bukan kesalahan Mis, maknanya darjat Mis lebih tinggi daripada diorang. Tapi, kalau Mis pun sama bercakap macam diorang, maknanya tak ada beza Mis dengan diorang. (Kak Mis mengangguk faham).

Kak Mis : Tapi sebenarnya Mis sukakan aktiviti tu. Tapi sekarang Mis terpaksa tinggalkan. (Masa ni, sahabat Kak Mis hanya tersenyum. Tanpa mengulas lanjut, kami bertukar pula kepada topik lain. Berbual-bual hingga tak sedar hampir sejam lebih kami duduk berembun.)

Kami berhenti berbual dan pulang ke bilik masing-masing. Sebelum terlelap malam itu, Kak Mis menerima satu SMS yang sangat bermakna daripada sahabat Kak Mis itu.

“Dan ssgguhnya ksudahan keadaanmu adlh lbih baik bagimu drpd permulaannya. (Surah Adh-Dhuha 93:4). Dlm ayat ini, Allah SWT mnyuruh kita bsyukur. Apa yg kita ada pd hr ini & keadaan kita adlh lebih baik drpd sblum ini. X kira mcm mane hati kita tdk senang krn tak seperti apa yg kita inginkan, kita tetap perlu bsyukur krn ia adlh yg terbaik buat kita. Sesugguhnya Allah Maha Memahami...”

Syukran ya ukht! Nasihatmu membuatkan Misraini binti Wazir semakin kuat dan tenang menerima situasi dan keadaan! Kak Mis tidak membuang nasihat yang diterima begitu-begitu, tapi Kak Mis cuba mempraktikkannya. Alhamdulillah, kini Kak Mis semakin tenang. Bertemu mata dengan mereka pun Kak Mis sudah boleh tersenyum. Malas mahu berfikir apa yang terlindung di akal dan hati mereka. Biarlah! Maafkan! Tidak rugi apa-apa kalau kita memberi maaf, tidak perlu membayar seribu ringgit pun (ayat yang sering Kak Mis gunakan untuk memotivasi diri sendiri). Tidaklah Allah menambah kepada hamba-Nya yang memberi pintu maaf kecuali darjat kemuliaan – riwayat Al-Bukhari dan Muslim. Lagi pula, mereka tidak salah 100% dan Kak Mis juga ada silapnya yang mungkin Kak Mis sendiri tidak sedar. Adakala Kak Mis terasa sedih juga mengenangkan kecintaan Kak Mis terhadap aktiviti itu terpaksa Kak Mis lupakan begitu saja. Namun, cepat-cepat Kak Mis mengingatkan diri Kak Mis pada kalamallah yang ternukil dalam surah Al-Baqarah, ayat 216 dengan maksud:

“...boleh jadi kamu membenci sesuatu padahal ia amat baik bagimu, dan boleh jadi pula kamu menyukai sesuatu padahal ia amat buruk bagimu, Allah mengetahui sedang kamu tidak mengetahui...”

Nah, adik-adikku! Sedikit catatan pengalaman buat renungan kita bersama. Terbukti, semangat kerjasama dan setia kawan itu sangat penting dan bermakna. Sewaktu Kak Mis, Bintul, Dik Farha dan Dik Nasrul, berpakat untuk menubuhkan GAPESA ini, terlalu banyak yang Kak Mis fikirkan. Bimbang pengalaman yang tidak berapa seronok berulang kembali. Orang-orang tua kata; takut pisang berbuah dua kali. Jika pisang yang berbuah dua kali, itu masih menguntungkan. Tapi, jika keserabutan berulang dua kali, itu maknanya mengundang parah di hati! Namun, semangat yang ditunjukkan oleh ketiga-tiga adik ini telah menghilangkan sedikit kegusaran yang bersarang dalam fikiran. Sewaktu kami berempat berbincang dengan Encik Md. Nor dan Encik Rasdi mengenai usul penubuhan gagasan ini, mereka menyokong dengan hati yang terbuka. Kami tambah bersemangat apabila Tuan Pengarah menerima cadangan ini dengan senang hati. Penerimaan Tuan Pengarah disertakan dengan cabaran. Cabaran Tuan Pengarah – mahu GAPESA menghimpunkan lebih kurang 100 buah cerita kanak-kanak pada hujung tahun ini (tahun 2009) dan memastikan sebahagian besar objektif penubuhan GAPESA tercapai.

Untuk merealisasikan hasrat murni ini bukanlah boleh dilaksanakan seorang dua, bertiga atau berempat saja. Ia memerlukan curahan tenaga dan pemikiran ramai orang. Dan hari ini, di pundak adik-adiklah, di pundak kita semualah tergalas segala harapan dan perjuangan. Ya, GAPESA ini adalah perjuangan kita! Perjuangan yang bermatlamat! Justeru adik-adik, kita perlu sama-sama berkerjasama seikhlasnya demi pembangunan GAPESA. Berkerjalah dengan semangat setia kawan yang tepu. Kita tolak ke tepi perasaan tidak suka atau tidak senang dengan orang lain, perasaan iri hati, perasaan tidak puas hati, perasaan memprotes dan segala macam perasaan negatif yang boleh menimbulkan pertelingkahan, yang boleh menimbulkan ketidaktenangan, yang boleh menimbulkan konflik dan perselisihan. Kini kita adalah sebuah keluarga yang besar. KELUARGA GAPESA! Ibarat air yang dicincang takkan putus, peliharalah ukhwah antara kita agar terus kukuh dalam simpulan redha Ilahi.

Kerjasama dan setia kawan demi GAPESA!

16 Jun 2009,

Desa Kelahiran,

2.56 a.m. disudahi.

Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

Sekitar Debat Piala DYMM Sultan Zainal Abidin